Pencegahan dan Rawatan Menggunakan Perubatan Herba: Kepentingan Bukti Saintifik
- Ex Tax: RM8.00
- Author: Nik Soriani Yaacob
- Availability: In Stock
- e-ISBN: 9789674613853
- Book Type: E-book
- Format: Flipbook
Penggunaan sumber alam untuk perubatan telah lama dipraktikkan dengan rekod terawal
tercatat lebih kurang 5,000 tahun yang lalu di negara China. Penggunaan perubatan herba
semakin meningkat disebabkan antaranya, oleh kesan sampingan atau kurang keberkesanan
sesetengah drug kemoterapi, peningkatan kos perubatan konvensional serta potensi
farmakologi bahan herba contohnya sebagai agen anti-kanser. Namun, bahan herba juga boleh
menyebabkan kesan sampingan yang berbahaya walaupun telah digunakan berkurun lamanya.
Spesis Ephedra contohnya dijadikan bahan rawatan untuk penurunan berat badan dan telah
menyebabkan pelbagai kesan sampingan termasuk hipertensi, strok dan serangan jantung. US
Food and Drug Administration telah menghalang penggunaan herba ini. Spesis Aristolochia
pula mempunyai kesan toksisiti seperti penyakit ginjal kronik dan kanser saluran kencing serta
telah diklasifikasikan sebagai Karsinogen Kumpulan 1 oleh International Agency for Research
on Cancer. Justeru, kebarangkalian interaksi bahan herba dengan drug konvensional juga
perlu dikaji kerana mungkin boleh merencatkan keberkesanan drug atau merangsang kesan
sampingan.
Kajian saintifik yang terperinci telah mendapati perubatan herba berupaya memberi impak
secara global terutama di negara-negara membangun. Salah satu tumbuhan herba yang
berpotensi sebagai agen anti-kanser ialah Strobilanthes crispus (pecah beling atau pecah kaca).
Satu sub-fraksi daripada ekstrak daunnya (SCS) boleh membunuh sel kanser payudara secara
apoptosis, setanding dengan drug anti-kanser dan tamoxifen (Tam) pada dos tinggi, serta
berpotensi meminimumkan kesan sampingan Tam dengan meningkatkan kesan Tam pada
dos yang lebih rendah. Keadaan ini melibatkan modulasi pelbagai molekul isyarat dalam laluan
apoptosis secara intrinsik dan ekstrinsik.
Kajian menggunakan haiwan makmal menunjukkan rawatan SCS serta bahan aktifnya, lutein
atau β-sitosterol, berupaya merencatkan pertumbuhan tumor mamari tanpa kesan negatif
terhadap profil hematologi dan fungsi organ utama yang lain. Mekanisme tindakan terhadap
tumor mamari ini adalah pelbagai, termasuk penurunan ekspresi protein pendorong kitaran sel
tumor serta protein anti-apoptosis, manakala protein yang mengaruh apoptosis ditingkatkan.
SCS juga dapat meningkatkan keupayaan sistem imun untuk bertindak terhadap tumor
mamari dengan memodulasi ekspresi pelbagai protein berkaitan dan meningkatkan aktiviti
sel imun yang melawan tumor. Di samping itu, SCS mampu menghalang penghijrahan dan
pencerobohan sel tumor serta memodulasi pelbagai protein yang terlibat bagi membantutkan
proses mestastasis tumor ke organ-organ lain. Kecanggihan pengkomputeran masa kini telah
membolehkan simulasi analisis in silico sebatian-sebatian utama dalam SCS dijalankan bagi
membantu dalam mengenal pasti potensi interaksinya dengan protein reseptor tertentu
sebagai salah satu mekanisme tindakan anti-tumor SCS.
Walaupun pelbagai kajian jelas menunjukkan SCS mempunyai kesan anti-kanser, kajian
praklinikal Amalan Makmal Piawai masih diperlukan untuk memenuhi keperluan Agensi
Regulatori Farmasi Negara sebelum bahan herba seperti SCS dapat dipasarkan sebagai
adjuvan kepada drug terhadap kanser. Kajian saintifik yang terperinci dan menyeluruh dapat
mengelakkan penggunaan bahan herba secara berleluasa tanpa memahami kesan sampingan
atau interaksi dengan drug yang sedang digunakan. Seterusnya, kajian terperinci sebegini akan
memudahkan kelulusan agensi berkaitan di peringkat antarabangsa.